Tuesday, January 22, 2013

Bagaimana Merangsang Anak Solat?

http://www.tengkuasmadi.com/1/post/2011/08/bagaimana-merangsang-anak-solat.html

Hasil tulisan: Dr. Hj. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad.(Hak Cipta Terpelihara 2011 @ MAP Training & Consultancy Sdn. Bhd.)
Hari ini saya menerima satu soalan dari pengunjung blog yang bertanya bagaimana cara bagi kita mendidik anak supaya solat. Oleh itu saya mengambil kesempatan menjawab soalannya melalui artikel yang ditulis ini bagi memudahkan orang lain memanfaatkannya juga.

1) Ibu bapa mesti menjadi contoh dahulu. Mudah sahaja, ibu bapa yang bersolat pasti mampu merangsang anak-anak rajin bersolat. Sebaliknya ibu bapa yang liat atau tidak solat maka anak-anak berkemungkinan akan mengikuti jejak langkah yang sama. Bagi anak-anak yang kecil, iaitu usianya antara 1 hingga 6 tahun maka cukuplah kalau mereka sekadar memerhatikan kita bersolat atau ikut sama solat tetapi main-main. Kita baru rukuk dia sudah pun sujud. Kita belum habis lagi dia sudah pun beri salam dan bermain. Tidak perlu bertegas atau berkeras. Usah sampai dia rasakan solat itu satu hukuman. Biarkan sahaja dia begitu sebab yang penting dia nampak kita bersolat. Anak-anak lebih percaya apa yang dia lihat daripada apa yang kita cakap. Malah 80% didikan adalah melalui tauladan bukannya melalui perkataan. Tauladan maknanya apa yang anak kita nampak dilakukan oleh kita setiap hari.


2) Ajak anak-anak anak-anak berjemaah. Usah jadikan sibuk sebagai alasan tidak mampu mendirikan solat secara berjemaah di rumah. Kalau tidak sempat berjemaah pada waktu Subuh, boleh berjemaah di waktu Maghrib. Apabila masuk waktu solat, hamparkan sejadah di ruangan yang sesuai, panggil semua anak-anak dan suruh mereka berwuduk. Suruh anak lelaki yang sulong azan dan kemudian iqamat. Lazimkan solat secara berjemaah dan anak-anak akan terbiasa dengannya. Selepas solat, zikir dan doa, ambillah masa lima minit untuk berikan tazkirah pendek pada anak-anak tentang agamanya.

3) Tegas dan berdisiplin. Diriwayatkan daripada Amr bin Syu’aib, daripada ayahnya, daripada datuknya r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda:Perintahlah anak-anak kamu supaya mendirikan sembahyang ketika berusia tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan sembahyang ketika berumur sepuluh tahun dan asingkanlah tempat tidur di antara mereka (lelaki dan perempuan). (Hadis riwayat Abu Daud). Hadis ini menunjukkan betapa tegasnya Nabi SAW apabila berhadapan dengan masalah solat. Sebab solat itu tiang agama. Orang yang tidak menjaga solatnya tidak layak dijadikan imam, pemimpin dan suami. Memukul anak seawal usia 10 tahun bukanlah bermakna menderanya. Cukup sekadar ia tahu bahawa kita serius dalam bab solat ini. Kegagalan ibu bapa dalam bertegas adalah punca anak-anak malas solat terutamanya apabila mereka dewasa. Malah ramai ibu bapa yang rasa kesian nak kejutkan anak mereka yang lena tidur di waktu subuh atas alasan tidak apalah anak belum akil baligh lagi. Kalau waktu rebung tidak dilentur tidak akan mungkin mampu dilentur ketika sudah separa buluh.

4) Nasihatkannya dengan baik. Apabila anak-anak tidak solat cubalah nasihakan mereka dengan cara yang baik. Terutamanya bagi anak-anak yang sudah masuk usia remaja iaitu 15 hingga 21 tahun. Ceritakan hukuman Allah yang menantinya apabila tidak solat. Ceritakan ganjaran syurga dan seksa neraka. Ceritakan kesan dan akibat yang akan menimpa mereka yang tidak solat baik balas dunia atau akhirat. Bawakan kepadanya kisah-kisah Nabi SAW dan para sahabat tentang solat. Sampaikan padanya bagaimana Nabi SAW pernah solat malam hingga bengkak-bengkak kakinya. Usah berputus asa. Nasihatlah anak-anak dengan sabar dan berterusan. Kalau bukan kita, ibu bapanya, menasihatkan maka siapa lagi?

5) Doakan anak. Banyakkanlah berdoa agar anak-anak lembut hati dan mendengar kata. Buatlah solat hajar agar anak lembut hati bagi mendirikan solat. Bacakan ayat 21 dalam surah Al-Hasrh (59) dan sapukan pada ubun-ubun anak.
Picture
Doakan anak setiap kali kita teringat akan dia meski pun ketika itu kita sedang bekerja, memasak, memandu dan sebagainya. Sebab ketika kita teringat akan anak maka ketika itu insya Allah dia juga teringat akan kita. Oleh itu manfaatkan hubungan yang unik ini. Usah merasa putus asa jika doa belum makbul sebab berputus asa dari rahmat Allah itu tanda-tanda kekufuran. Yakinlah Allah pasti makbulkan doa kita cuma masanya sahaja yang belum tiba.

6) Berikan masa bagi anak melakukan perubahan. Ada ketikanya kita tidak sabar. Sesuatu tabiat memakan masa bagi mendarah daging. Sebab itulah mendidik anak solat perlu bermula seawal usia 7 tahun iaitu beberapa tahun sebelum anak-anak akil baligh. Setiap kali menegur anak solat, ucapkanlah begini, "Aiman, sekarang dah pukul 6.30 petang tapi Aiman masih belum solat. Aiman kan anak yang baik kenapa mesti begini. Sekarang tak apalah juga Aiman baru 11 tahun. Tahun depan Aiman dah masuk usia 12 tahun, mak tidak mahu lihat Aiman begini lagi tau. Ok, sekarang pergi tunaikan solat Asar itu." Ada beberapa perkara yang menarik dalam teguran ibu ini. Pertama, dia ingatkan anaknya tentang solat. Kedua, dia wujudkan jambatan emosi dengan mengatakan yang anaknya itu budak baik. Ketiga, dia letakkan jangkaan bahawa anaknya mesti berubah pada usia 12 tahun. Keempat, dia minata anaknya solat sekaran. Ucapan sebegini membuatkan anak lebih senang berubah. Bayangkan pada hari lahirnya 12 tahun nanti apabila kita berikan Aiman hadiah sejadah dan baju sembahyang. Otaknya terus faham bahawa masanya untuk berubah dan menjaga solat sudah pun tiba.

7) Bisikkan di telinganya sewaktu dia tidur. Minda akan memproses maklumat yang disampaikan padanya berulang kali dalam gelombang theta. Oleh itu, hampiri anak yang sedang tidur lalu usap kepalanya, atau tepuk-tepuk badannya sambil berulang kali menyebut, "Aiman, rajin solat yer nak." Terus menyebut kata-kata tersebut sehingga anak memberikan respon seperti mengangguk, mengalih badan atau seumpamanya. Kemudian, sebut beberapa kali lagi lalu tinggalkanlah anak itu. Lakukan perkara ini setiap malam selama 1 hingga 3 minggu dan insya Allah berhasil. Yang penting yakin dan positif.

8) Bawa anak-anak ke surau dan masjid. Biasakan anak-anak ke surau atau masjid bermula dari mereka masih kecil. Anak-anak yang sudah terbiasa dengan suasana beribadah tidak akan kekok melakukannya apabila sudah akil baligh. Tambahan pula, apabila dia ke masjid, potensi bagi dia berkawan dengan mereka yang kaki solat juga tinggi. Kalau dia melepak maka potensi untuk dia jadi kaki rempit pula yang tinggi. Pilihan ditangan kita sebagai ibu bapanya. Usah nanti nasi sudah menjadi bubur barulah mahu disesalkan. Masalahnya, orang tua pun sekarang liat ke masjid.

9) Lakukan Rawatan Islam. Ya betul, saya memang serius. Lakukan rawatan Islam. Mengikut pengalaman saya ramai anak-anak yang mals, degil, tidak solat dan tidak suka membaca al-quran disebabkan adanya gangguan syaitan dan iblis yang berbisik-bisik di kalbunya. Tetapi bukanlah semua kes tidak solat disebabkan oleh gangguan. Ada juga yang memang sudah jenis pemalas. Cuma tidak salah melakukan rawatan jika semua perkara yang disarankan di atas telah pun dilakukan.

10 Peranan Ibu Bapa Menjelang Peperiksaan

http://www.tengkuasmadi.com/1/post/2011/11/10-peranan-ibu-bapa-menjelang-peperiksaan.html

Oleh: Dr. Tengku Asmadi T. Mohamad, Ph.D
Perunding Motivasi MAP Training and Consultancy Sdn. Bhd.

Musim peperiksaan menjelang lagi. Disaat begini ibu bapa biasanya lebih bimbang berbanding anak-anak. Diantara ibu dan bapa pula, ibulah yang lebih gemuruh berbanding bapa. Sebagai seorang bapa, saya memahami perasaan dan tekanan yang dihadapi oleh ibu bapa. Malah saya baru sahaja mampu bernafas lega apabila anak yang sulung kini selesai peperiksaan UPSRnya. Memang pengalaman mendidik anak orang dengan mendidik anak sendiri cukup berbeza.

Jangan pula kerana tekanan yang kita rasakan dan harapan yang kita letakkan terhadap seorang anak, membuatkan kita kelam kabut hingga lupa apa yang patut dilakukan disaat menjelangnya peperiksaan.

Salah pendekatan kita maka anak yang akan menerima akibatnya kelak hingga tanpa disedari menjejaskan prestasi peperiksaannya.

Saya teringat bagaimana tahun lepas seorang pelajar motivasi saya telah menelefon dan menangis sedangkan PMR hanya tinggal 10 hari sahaja lagi. Setelah ditenangkan, maka dia beritahu saya bagaimana tertekannya dia apabila ibu bapa terus mengherdik, menekan dan memarahinya kerana dia hanya memperolehi 3A sahaja dalam peperiksaan percubaannya. Dia rasa dia telah gagal sebagai seorang anak dan tidak yakin untuk berhadapan dengan PMR yang sebenar. Nasib baiklah dia sempat mengadu dan meminta bantuan. Bagaimana pula dengan ratusan ribu pelajar lain yang tidak mempunyai tempat untuk mengadu? Sebab itulah kita sebagai ibu bapa mesti tahu apa persediaan yang perlu dibuat untuk kecemerlangan anak-anak menjelangnya peperiksaan.

1. Fahami Tekanan Yang Dihadapi Oleh Anak
Bukan sahaja ibu bapa yang bimbang, anak-anak juga sebenarnya bimbang. Mungkin ada diantara mereka tidak begitu menunjukkan kebimbangan tetapi ia dapat dilihat dari segi perubahan sikap dan tingkah laku mereka. Ada anak-anak yang rungsing lalu tidak berselera makan tetapi ada pula yang menjadi terlalu kuat makan. Ada yang tidak boleh tidur tetapi ada pula yang semakin kuat tidurnya. Ada yang murung, marah-marah, sensitif dan sebagainya. Sememangnya perasaan bimbang boleh menyebabkan berlakunya perubahan sikap dan tingkah laku ini. Sebagai ibu bapa, kita mesti peka terhadap perubahan ini dan cuba sedaya upaya mengurangkan tekanan tersebut dengan lebih memahami mereka. Katakan kepada mereka dengan jelas bahawa apa yang kita harapkan dari mereka hanyalah melakukan yang terbaik mengikut kemampuan diri mereka. Jelaskan kepada mereka kecemerlangan akademik bukan hanya satu-satunya syarat untuk mereka hidup cemerlang di dunia Allah ini.

Apabila tinggal beberapa hari lagi untuk menghadapi peperiksaan, elakkan dari menyuruh mereka menjawab terlalu banyak soalan-soalan yang mereka tidak ketahui penyelesaiannya kerana ini akan membuatkan mereka rasa tidak bersedia. Keyakinan diri mereka akan tergugat dan ini akan menjejaskan prestasi mereka dalam menjawab soalan-soalan yang mereka sedia ketahui.



Adalah lebih baik ibu bapa diam tanpa memberikan sebarang komen apabila didapati perasaan anak terlalu tertekan hingga ada ketikanya dia memberontak lalu meluahkan perasaan dengan mengatakan yang dia pasti gagal. Perhatikan sahaja gelagat anak sebab biasanya luahan perasaan itu bukanlah luahan yang sebenar. Selepas itu, ajak anak melakukan aktiviti yang menyeronokkan tanpa perlu keluar dari rumah. Misalnya, adakan masa untuk menonton cerita jenaka seketika. Berhibur dan bergelak ketawalah sekeluarga. Ini akan membuatkan perasaan tegang dalam diri anak mengendur dan dia kini bersedia untuk kembali belajar semula. Ketika ini, tanamkan keyakinan dalam diri mereka semula. Rancang bersama jadual ulangkaji mereka dan cuba mudah-mudahkan setiap langkah yang mahu diambil.

2. Tingkatkan Keyakinan Diri Anak
Keyakinan diri yang tidak mantap sering menghantui jiwa anak-anak. Ada diantara mereka yang memang telah membuat ulangkaji sejak awal lagi tetapi tetap rasa tidak yakin pada diri sendiri. Sebagai ibu bapa kita perlu tahu bahawa keyakinan itu datangnya dari persediaan. Semakin bersedia anak kita maka semakin yakinlah mereka. Persediaan ini pula bukan sekadar membaca, menghafal dan menyediakan nota semata-mata. Persediaan ini mestilah merangkumi aspek menerima (input) dan mengeluarkan (output) maklumat.

Proses mendapat maklumat termasuklah membaca, membuat nota ringkas, menghafal, bertanya, dan mengetahui teknik menjawab soalan-soalan. Proses mengeluarkan maklumat pula ialah menjawab soalan-soalan seperti membuat latihan, latih tubi dan simulasi dengan menggunakan segala pengetahuan yang telah diperolehi dalam proses mendapat maklumat itu tadi. Galakkan anak menjawab sebanyak mungkin soalan agar mendapat pengalaman. Lebihkan proses latih tubi untuk mana-mana topik yang agak lemah atau bentuk soalan yang kurang dikuasai. Seterusnya, perhebatkan simulasi iaitu menjawab soalan-soalan tahun lepas serta soalan-soalan ramalan mengikut masa yang telah ditetapkan. Lakukan proses simulasi ini seolah-olah dia benar-benar berada dalam dewan peperiksaan yang sebenar.

3. Dorong Anak Secara Positif
Ibu bapa hendaklah sering memberikan harapan kepada anak dengan melontarkan kata-kata yang positif. Apakah kata-kata positif? Kata-kata positif adalah kata-kata yang apabila diucapkan akan menghasilkan gambaran minda yang juga positif.

Misalnya:

bukan "Jangan buang masa" .... tapi ucapkanlah "Manfaatkan masa",

bukan "Jangan berputus asa"... tapi ucapkanlah "Berusahalah dengan lebih gigih lagi" atau "Mak percaya adik pasti BOLEH!",

bukan "Jangan kelam kabut".. tapi ucapkanlah "Banyakkanlah bertenang",

bukan "Elakkan kecuaian".. tapi ucapkanlah "Tingkatkan ketelitian dan lebih berhati-hati",

Malah banyak lagi contoh-contoh yang boleh diberikan.

4. Kerjasama Sepenuhnya
Apabila seorang anak bakal menduduki peperiksaan penting maka keseluruhan ahli keluarga yang ada dalam rumah hendaklah memberikan kerjasama sepenuhnya. Antaranya, hormati waktu ulangkaji anak itu dengan setiap ahli keluarga menjadikan waktu itu sebagai waktu belajar. Misalnya ibu bapa boleh manfaatkan waktu itu untuk membaca bahan-bahan yang berfaedah. Adik kecil pula diberikan kertas dan pensil untuk menconteng. Datuk dan nenek, kalau tinggal dirumah yang sama, gunakanlah waktu itu untuk membaca al-quran. Begitulah juga dengan yang lain-lain. Pastikan tidak seorang pun daripada ahli keluarga yang menonton TV, mendengar radio, sembang-sembang kosong, bermain-main dan sebagainya sedangkan ada anak yang sedang bertungkus lumus menghadapi pelajarannya. Dengan cara ini anak akan dapat rasakan bahawa perjuangannya dihargai.

5. Kurangkan Aktiviti Luar
Elakkanlah dari terlalu banyak membuang masa dengan aktiviti diluar seperti keluar membeli belah, makan di luar, balik kampung, menziarahi saudara mara dan sebagainya. Ingatlah setiap minit itu amat berharga untuk anak oleh itu pastikanlah setiap aktiviti yang dirancang menyumbang kepada persediaannya untuk menghadapi peperiksaan sama ada persediaan mental, emosi, fizikal atau rohani anak-anak. Tambahan pula, kekerapan berada di luar rumah hanya mendedahkan mereka terhadap perkara yang tidak diingini sama ada dari segi kesihatan atau keselamatan.

6. Elakkan Anak Dari Tidur Lewat
Ada yang suka belajar hingga lewat malam untuk menghabiskan ulangkaji mereka. Jangan biarkan keadaan sebegini berlarutan. Pastikan anak anda masuk tidur awal dan bangun awal. Galakkan mereka membuat sedikit ulangkaji diwaktu awal pagi walaupun hanya untuk dua puluh atau tiga puluh minit. Diwaktu ini fikiran mereka tenang, emosi belum terganggu dan suasana pula nyaman. Banyak maklumat yang dibaca ketika ini akan diingat untuk tempoh masa yang lebih lama.

7. Berikan Anak Pelepasan Tugas Harian
Berikanlah anak anda layanan yang istimewa kerana menjelangnya peperiksaan. Berikan dia bebas dari melakukan tugas harian yang sememangnya menjadi rutin hariannya seperti mengemas bilik, menolong emak di dapur, membersih halaman rumah, mencuci pakaian dan sebagainya. Agihkan sementara tugas-tugas ini kepada orang lain seperti kakak, abang, adik atau ibu bapa sendiri. Dengan cara ini anak yang akan menduduki peperiksaan dapat merasakan bahawa seluruh ahli keluarga memang benar-benar mahu lihat dia cemerlang. Dia akan rasa bersalah kiranya waktu yang diperuntukkan untuk belajar tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya sedangkan semua orang telah memberikan kerjasama. Dia juga akan sentiasa mengharapkan suasana peperiksaan sebegini datang lagi kerana seronok mendapat pelepasan tugas. Anak-anak yang lain tidak ada sebab untuk cemburu sebab apabila tiba masa mereka maka mereka juga akan dilayan dengan cara yang serupa.

8. Nyatakan Ganjaran Dengan Jelas
Jangan biarkan anak anda berteka teki terhadap ganjaran yang bakal dia terima sekiranya dia memperolehi keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Nyatakan dengan jelas bentuk ganjaran yang mahu diberikan kepadanya. Kalau ia berbentuk kebendaan maka nyatakan dengan jelas. Tunjukkan gambar tentang apa yang mahu anda berikan padanya. Kalau ia suatu percutian, beritahu destinasi yang akan dilawati. Dapatkan juga risalah tentang destinasi tersebut dan tunjukkan padanya. Ganjaran yang kabur atau samar-samar tidak akan merangsang jiwa. Misalnya, elakkan dari berkata, "Kalau abang cemerlang dalam SPM maka emak akan bawa abang melancong", sebaliknya hendaklah kita berkata, "Kalau abang cemerlang dalam SPM emak pasti bawa abang ke Langkawi, insyaAllah".

Pastikan apa jua ganjaran yang mahu diberikan anda mampu menunaikannya. Kalau tidak anak akan hilang kepercayaan terhadap kita sebagai ibu bapa dan lain kali janji kita tidak diambil kisah lagi.

Ganjari juga usahanya bukan sekadar hasil atau pencapaiannya. kalau kita tahu anak telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan tetapi keputusan peperiksaan tidak seperti yang dimahukan maka berikanlah dia sesuatu sebagai menghargai penat lelahnya itu.

9. Ambil Cuti
Inilah masanya untuk ibu bapa berikan dorongan yang tidak berbelah bahagi kepada anak yang bakal menduduki peperiksaan. Ambillah cuti beberapa hari dan usahakan untuk hantar sendiri anak ke sekolah pada hari peperiksaan tersebut. Sepanjang perjalanan terus berikan kata-kata perangsang dan nasihat kepadanya. Ingatkan anak sekali lagi bahawa kita tidak pentingkan apa sekalipun hasil yang dia perolehi, yang penting dia telah pun memberikan usaha yang terbaik. Apa sahaja keputusannya kita terima dan bersyukur.


10. Banyakkan Berdoa dan Solat hajat
Tidak ada sesuatu yang lebih bermakna untuk seorang anak ketika menduduki peperiksaan selain daripada doa dan restu dari kedua ibu bapanya. Oleh itu, inilah masanya untuk kita luangkan lebih banyak masa berdoa untuknya agar dipermudahkan urusan anak menjawab setiap soalan, diberikan ketenangan dan diterangkan hati. Berdoalah dengan suara yang jelas agar didengar oleh anak dan biarlah dia aminkan doa kita itu. Biar anak menyedari yang kita sering membuat solat hajat dan berdoa untuknya. Dengan cara ini mereka akan lebih menghargainya.

Semoga petua keibubapaan yang telah diberikan dapat membantu ibu bapa untuk menjadi lebih cemerlang. Ingatlah, anak-anak bukan kita maka terimalah mereka seadanya. Yang penting mereka lakukan yang terbaik mengikut kemampuan diri mereka sendiri.

Monday, September 10, 2012

UPSR 2012 : Jadual Exam


 
Saja suka-suka upload jadual exam UPSR 2012. Maybe boleh guna untuk refer next year exam for Rafiq...tak jumpa pulak detail jadual utk 2012, upload yg 2011 first, mungkin schedule yang sama.

UPSR esok

esok upsr dah mula...Rafiq next year upsr. adoiii... asyik lepak jer tengok premier league..manchester city..homework  tuisyen miss chew pun tak habis habis lagi...dia cakap nak completekan esok kat sekolah coz cikgu tak masuk class.

Sunday, September 9, 2012

Sakit Rahang Gigi...wisdom teeth..

Adoiiii...sakit rahang gigi pulak. Dah seminggu. pegi check dentist jumaat lepas dia kata gusi bengkak kat dlm geraham. buka mulut luas sakit..camna nak makan nie...dentist kasi antibiotik 2 jenis flaggl and ammoxillin utk elakkan infection..hari nie isnin lepas hantar Rafiq Farah sekolah terus pergi dentist...sakit sama lagi...dr cuci gigi geraham and suruh completekan antibiotik. dia nak kasi referral letter utk jumpa pakar bedah mulut. mungkin kena buat minor surgery utk buang gigi geraham bongsu tu...


Mobile blog update testing...

Saja nak test blog update thru mobile, fast n easy.

Tips Doa Semasa Anak Exam