Tuesday, January 29, 2013

Creamy Butter Crab / Ketam Masak Mentega Berkrim

http://www.reenaonline.com/2012/02/resepi-creamy-butter-crab-ketam-masak.html

Resepi : Creamy Butter Crab / Ketam Masak Mentega Berkrim



Baru-baru ni hubby i buat permintaan nak makan Butter Crab. Ni pun semenjak dia balik out station dari Labuan. Punyalah dia bercerita dekat i betapa bestnya makanan laut (seafood) dekat sana. Ok, i kena dengar sambil telan air liur (tik tik tik... Eh... Hehehe).

Sebenarnya, kalau korang nak tahu, i ni bukanlah peminat ketam. Sebabnya? I terasa betapa penatnya jari, mulut dengan gigi i ni nak mengopak segala kulit keras ketam tu. Rasanya i lebih rela masak dan telan ayam hari-hari daripada mengadap ketam depan mata untuk dikerjakan. Tapi dalam terpaksa rela tu, i tunaikanlah impian hubby i nak makan butter crab. Yelah... Tak baik menderhaka dengan suami kan.

Dan percaya tak korang, kalau i kata yang selama ni pun i tak pernah makan butter crab. Kiranya, inilah percubaan pertama i buat butter crab berdasarkan resepi yang i google dan jumpa dekat sini (mekasih awak!).

Memandangkan ada bahan-bahan dekat resepi ni yang i takde, jadi i ubah bahan-bahannya ikut selera i. Tak sangka dengan bahan-bahan yang simple ni, hubby i bagi pujian yang butter crab i masak lagik sedap daripada tempat seafood yang dia makan (fewitt... Terharu tau, tak sia-sia usaha i masak butter crab berhasil. Yes!). Kembang kempis pulak rasanya hidung waktu tu (hik-hik). Walaupun takdelah niat nak puji masakan sendiri (cuba tengok muka serius i ni) tapi sejak makan butter crab. I dah mula jatuh cinta dengan ketam (ilebiu lah!). Untuk hari tu je, i dan hubby habiskan masa dua jam makan ketam sambil sembang-sembang. Punyalah best, sampai kita orang tak sedar masa berlalu dengan pantas (gitulah. Hehe). Korang tengok, hebat tak hebat penangan butter crab ni?

So, khas untuk korang semua inilah Resepi Creamy Butter Crab / Ketam Masak Mentega Penuh Krim yang telah berjaya i hasilkan. Sekali dah masak, confirm encik suami atau anak-anak minta korang masak berkali-kali.

Bahan-bahan :-

  1. 6 batang cili padi
  2. 6 ulas bawang putih
  3. 1 tin susu sejat F&N
  4. 3 biji KUNING telur masin
  5. 5-6 sudu besar mentega (i suka pakai brand buttercup)
  6. 5 ekor ketam sederhana besar
  7. Sedikit minyak untuk menggoreng
  8. Garam secukup rasa


Caranya :-

  1. Letak sedikit minyak dan goreng ketam yang telah dipotong dengan api kecil. Tutup kuali dengan tudung kuali dan biarkan lebih kurang 10-15 minit sampai ketam masak. Lepas tu tutup api.
  2. Sementara tunggu ketam masak, hiriskan bawang putih dan ketukkan cili padi.
  3. Sediakan kuali yang lain, buka api kecil dan masukkan mentega. Bila mentega dah cair, masukkan bawang putih dan cili padi. Gaul sebentar.
  4. Tuang susu sejat dan kemudian masukkan kuning telur masin (peringatan: kuning telur masin sahaja tau. Tak sebut langsung part putihnya tau). Lenyek-lenyekkan kuning telur masin tu sampai hancur.
  5. Sepanjang proses penyediaan ni, pastikan tangan tu sentiasa menggaulkan kesemua bahan tanpa henti.
  6. Masukkan garam secukup rasa.
  7. Kemudian masukkan ketam yang dah digoreng tadi.
  8. Gaul sehingga sebati.
  9. Tutup api bila kuah / creamy sudah sedikit pekat dan mendidih. Jangan biarkan terlalu lama mendidih nanti creamy nya jadi kering dan terlalu pekat.
  10. Sedia untuk dimakan sehingga menjilat mangkuk (eh! Hehehe).

Cadangan pemakanan : Makan Creamy Butter Crab bersama-sama Nasi Goreng Cina (mantop!)



p/s : Bila dah tau masak Butter Crab, lepas ni hari-hari boleh masak sendiri dekat rumah. Kan save budget. Makan dekat restoran ketam rupa camgini confirm lah mahal :)

Butter Crab & Squid With Salted Egg

http://ujie.com/blog/2011/02/03/resepi-tahun-baru-cina-butter-crab-squid-with-salted-egg/

Sempena Perayaan Tahun Baru Cina hari ni, marilah saya kongsi cara nak masak Butter Crab & Squid With Salted Egg, iaitu salah satu masakan yang popular di restoran-restoran Cina. Harga di restoran, biasanya mestilah mahal kan? So, apakata kita buat sendiri kat rumah. Jimat dan sedap pulak tu. Selalunya saya masak dengan udang tapi kali ni saja nak ubah selera dengan ketam dan sotong pulak.
Bahan-bahan
1. 4-5 tangkai cili api
2. 4 ulas bawang putih
3. 3 tangkai cili kering
4. Sedikit daun kari
5. 200ml susu sejat Ideal
6. 3 biji telur masin
7. 2 sudu mentega
8. 2 ekor ketam
9. 4 ekor sotong
10. Minyak untuk menggoreng
11. Garam secukup rasa
Cili api
Bawang putih dan cili kering
Daun kari
Susu sejat Ideal
Telur masin. Ambil kuningnya saja
Mentega
Ketam dibelah empat
Sotong
Cara-cara
1. Potong cili api, cili kering, bawang putih dan daun kari, kemudian ketepikan

Cili api, bawang putih, cili kering dan daun kari dipotong halus
2. Panaskan minyak

Panaskan minyak
3. Goreng ketam dan sotong 80% masak

Goreng ketam

Goreng sotong
4. Panaskan kuali dan cairkan mentega

Mentega dicairkan
5. Masukkan cili api, cili kering, bawang putih dan daun kari. Goreng sampai naik naik bau

Cili api, cili kering, bawang putih dan daun kari digoreng sampai naik bau
7. Masukkan 200ml susu sejat Ideal

Masukkan susu
8. Masukkan kuning telur dan lecek-lecekkan

Masukkan telur kuning

Kuning telur dilecek-lecekkan
9. Masukkan ketam dan sotong. Kemudian gaul sehingga sebati dan kuah menjadi agak kering

Gaul sebati sehingga agak kering
10. Masukkan garam secukup rasa
11. Angkat dan hidangkan

Taraaaa……..
Malatoppppssss rasanya. Cubalah!

Tuesday, January 22, 2013

Pi sekolah beli baju sukan budak-budak

Pagi tadi pi skdp office beli baju seluar sukan bebudak. Tarak pulak size 38 . Lepas CNY baru sampai stock baru.

Rafiq zoom-a.com

Dah registered and subscribed zoom-a.com utk big brother Rafiq.....dah try login pon semalam...testing soalan math...

UPSR 2013

TARIKH PEPERIKSAAN TAHUN 2013


PEPERIKSAAN
TARIKH
PEPERIKSAAN
TARIKH
PENGUMUMAN
SPM (Ulangan)
11 – 12 Jun 2013

UPSR
10 – 12 September 2013
14 November 2013
PMR
2 – 9 Oktober 2013
23 Disember 2013
STAM
21 – 29 Oktober 2013

SPM
6 November – 5 Disember 2013

Penghulu Istighfar

http://www.tengkuasmadi.com/1/category/doa%20dan%20amalan/1.html

Raja Istighfar

Picture
Allahumma anta Rabbi la ilaha illa anta khalaqtani, wa ana ‘abduka wa ana ‘ala ‘ahdika ma-statha’tu, a’udzu bika min syarri ma shana’tu, abu’u laka bini’matika ‘alayya wa abu’u bidzanbi fa-gfir li, fainnahu la yaghfirudz-dzunuba illa anta

Artinya

Ya Allah, Engkau adalah Tuhanku, yang tiada Tuhan pantas disembah melainkan Engkau. Tuhan yang telah menciptakan diriku. Aku adalah hamba-Mu dan aku ada dalam perjanjian-Mu, yang dengan segala kemampuanku aku laksanakan perintah-Mu. Aku berlindung kepada-Mu dari segala perbuatan buruk yang aku lakukan kepada-Mu. Engkau telah mencurahkan nikmat-Mu kepadaku, sedangkan aku senantiasa berbuat dosa. Ampunilah dosaku karena tidak ada yang dapat mengampuni dosa kecuali Engkau.

(HR. Abu Dawud, Nasa’i, Ibnu Majah, dan Hakim)

(Hadis Riwayat al-Bukhari (no. 6306, 6323), Ahmad (4/122, 125), dan an-Nasa’I (8/279-280) dari Syaddad bin Aus radhiyallahu ‘anhu)

Rasulullah membiasakan membaca doa itu dan beliau menyebutkan sebagai Sayyidul Istighfar atau Raja Istighfar. Bahkan, Rasulullah menegaskan, barangsiapa yang membaca sayyidul istighfar pada sore hari dan hamba Allah itu meninggal pada malam harinya hingga terbit matahari ia berhak masuk surga. Barangsiapa yang membaca sayyidul istighfar pada malam hari, kemudian hamba Allah itu meninggal pada siang hari (mulai matahari terbit hingga terbenamnya) ia berhak masuk surga.

Bina Keberanian Dalam Diri Anak

http://www.tengkuasmadi.com/1/post/2012/3/bina-keberanian-dalam-diri-anak.html

Oleh:
Dr. Hj. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad

drasmadi@maptraining.com.my
www.tengkuasmadi.com
www.facebook.com/drasmadi

Anak-anak yang berjaya di sekolah sama ada dalam pelajaran atau ko-kurikulum adalah mereka yang ada keberanian. Berani mencapai kecemerlangan, bercakap di depan orang ramai, bergaul, bertanya apabila tidak faham, menjadi ketua, memegang jawatan, mewakili kelas atau sekolah dan sebagainya. Apabila anak-anak menunjukkan keberanian maka mereka akan diberikan pelbagai peluang.

Mereka yang aktif di alam persekolahan adalah kerana mereka berani untuk melibatkan diri dalam kelas serta program yang dianjurkan. Dengan keberanian mereka mendapat pelbagai anugerah dan pengiktirafan. Semua ini sangat membantu anak-anak di alam dewasa nanti.

Bayangkanlah, ketika anak orang lain sudah boleh berdikari sana sini, anak kita hendak bertanya sesuatu pada cikgu pun masih minta orang lain temankan. Ketika anak orang lain berani ikuti program-program perkemahan, anak kita tidak mahu turut serta sebab tiada kawan.

Sebab itulah anak-anak perlu ditanam dengan sifat berani pada usia yang seawal mungkin. Berani bukanlah sesuatu yang hadir ketika lahir sebaliknya sifat ini terhasil bergantung kepada cara ibu bapa mendidik dan membesarkan anak-anak mereka. Ibu bapa perlu tahu cara terbaik menjadikan anak-anak mereka seorang yang berani secara bertempat.

Sebab kita tidak mahu pula apabila anak menjadi berani tidak bertempat lalu dia melawan dan biadap dengan guru, merempit dan menyertai lumba haram, mencuri, memukul, bergadul dan sebagainya. Sebab kelakuan negatif sebegitu juga memerlukan satu bentuk keberanian.

Berikut adalah beberapa tip yang boleh dilakukan oleh ibu bapa bagi menjadikan anak-anak seorang yang berani:

1) Usah cepat membantu anak dalam pelbagai perkara. Semua ibu bapa sayangkan anak-anaknya. Tetapi usah jadikan rasa sayang sebagai alasan untuk cepat membantu mereka. Bukanlah salah membantu anak-anak kita tetapi ada ketikanya anak-anak perlu diberikan peluang mencuba dan melakukan kesilapan. Dari kesalahan dan kesilapan inilah mereka belajar. Ketika anak masih bayi, apabila dia mula pandai berjalan maka dia mula belajar naik tangga. Biasanya ibu bapa akan terus dukung anaknya dan bawa naik ke tingkat atas sebab takut anak jatuh. Ibu bapa yang prihatin sebaliknya akan mengawasi dan membiarkan anak-anaknya menapak satu anak tangga ke anak tangga yang lain. Dari situ anak itu belajar.


2) Biarkan anak dimarahi guru apabila mereka lakukan kesalahan. Ada ibu bapa yang sanggup menghantar buku latihan anaknya semula ke sekolah kerana bimbang anaknya nanti dimarahi guru atau didenda. Mungkin jika itu kesalahannya yang pertama maka kita hulurkan bantuan dengan menghantar buku itu ke sekolah. Tetapi bagaimana pula kalau masalah yang sama dilakukan oleh anak berulang kali? Bermakna anak kita sudah membentuk satu tabiat tidak bertanggung jawab. Oleh itu biarkan anak dimarahi dan didenda oleh gurunya. Dari situ dia akan belajar. Biar dia menjadi seorang yang berani menerima kesalahan dan berhadapan dengan risikonya. Sebagai ibu bapa usah campur tangan.

3) Berikan anak-anak peluang bergaul. Dunia internet hari ini meluaskan pergaulan anak-anak. Mereka boleh kenal sesiapa sahaja melalui laman sembang, facebook, twitter dan seumpamanya. Namun begitu, pergaulan bentuk ini tidak sama seperti pergaulan secara langsung. Anak-anak tidak boleh dikurung di rumah dan dihalang dari keluar bersosial. Biarlah anak berkawan asal sahaja kita tahu siapa rakan-rakannya, ibu bapa mereka, aktiviti yang dilakukan serta lokasi pertemuannya. Dalam masa yang sama lakukan pemantauan sebab kita tidak mahu anak-anak terlibat dengan aktiviti yang tidak sihat.

4) Dedah anak-anak dengan aktiviti lasak. Aktiviti-aktiviti lasak seperti ‘flying fox’, panjat dinding batu, berkuda, memanah, berenang dan seumpamanya dapat meningkatkan keberanian dalam diri anak. Bayangkan di barat ada aktiviti ‘bungee jumping’. Aktiviti ini memerlukan kaki kita diikat dan kemudian terjun dari satu kedudukan yang tinggi langsung ke bawah. Pasti menakutkan dan menggerunkan. Tetapi apabila selesai mencubanya pastilah keberanian diri meningkat. Malah di Malaysia kini sudah ada aktiviti ‘bungee jumping’ ini. Sebenarnya banyak lagi aktitivi yang boleh dilibatkan bagi menguji keberanian anak-anak. Misalnya adakah anak kita berani naik ‘roller coaster’ atau sentiasa mengelak. Jadikanlah anak kita seorang yang lasak dan berani kerana ia penting dalam pembentukan jati diri mereka.

5) Bawa anak ke majlis orang dewasa. Berikan anak-anak bergaul dengan orang tua atau mereka yang lebih dewasa dari usianya. Berikan dia ruang bertanya dan bercerita. Pengalaman ini akan menjadikan dia seorang yang berani berdepan dengan orang ramai nanti. Ada ibu bapa yang masih berpegang pada kepercayaan bahawa membawa anak-anak ke majlis orang tua sebagai kurang adab. Kita tengoklah apa bentuk majlisnya itu. Memang ada yang tidak sesuai di bawa anak. Tetapi kalau majlis menyambut bayi, hari lahir, kenduri kendara, perkahwinan dan sebagainya maka bawalah mereka bersama.

6) Latih anak mengambil risiko. Anak-anak perlu dilatih agar berani mengambil risiko. Mengambil risiko bukanlah bermakna melakukan sesuatu pekerjaan secara membuta tuli atau meletakkan dirinya pada kedudukan yang membahayakan. Ada bezanya melakukan kerja bahaya dengan kerja berisiko. Memanjat pokok itu kerja berisiko. Tetapi kalau bergayut di dahan tinggi tanpa sebarang langkah keselamatan itu adalah kerja berbahaya. Begitu juga memberi peluang anak remaja belajar membawa motosikal itu adalah kerja berisiko. Tetapi membiarkannya membawa motosikal tanpa memakai topi keledar dan memecut laju itu kerja berbahaya. Anak-anak perlu tahu beza antara risiko dan bahaya.

7) Bercakap secara positif. Bagi menanam keberanian dalam diri anak, ibu bapa perlu bercakap secara positif dan sentiasa menunjukkan pada anak yang kita yakin serta percaya akan kebolehan dirinya. Anak-anak juga perlu tahu dan sedar yang ibu bapanya bersedia menerima kekurangan, kesalahan dan kesilapan yang dilakukannya dengan hati yang terbuka asasl sahaja mereka belajar sesuatu dari pengalaman itu. Sifat terbuka ibu bapa penting bagi menjadikan anak-anaknya seorang yang berani mencuba dan bertindak.

Seperti yang telah dinyatakan awal-awal tadi sifat berani ini boleh dididik. Malah dalam program Motivasi Alihan Pelajar anak-anak dilatih agar berani tampil atas pentas dan bercakap di khalayak ramai hinggakan ada ibu bapa yang menitiskan air mata kerana terharu melihat perubahan yang berlaku pada anaknya. Apa tidaknya, anak yang dulunya pemalu dan penakut kita berani menyampaikan ucapan di depan ratusan pelajar dan ibu bapa yang lain. Oleh itu ibu bapa perlu berkorban sedikit bagi memastikan anak-anaknya lebih berani selepas ini. Dengan memasukkan anak-anak ke program motivasi seperti Motivasi Alihan Pelajar, ibu bapa akan dapati bahawa anak-anak mereka lebih bersedia berbanding dengan pelajar-pelajar yang lain. Motivasi Alihan Pelajar adalah satu program motivasi yang telah wujud sejak tahun 1995 lagi. Adalah lebih mudah bagi mencipta kejayaan apabila kita ada mentor, tahu cara dan tahu rahsianya.

Seminar mampu membuka mata dan menggerakkan hati serta meningkatkan kemahuan anak-anak bagi mencapai kecemerlangan. Untuk mengetahui tentang lokasi serta tarikh seminar yang terkini mohon hubungi pejabat Motivasi Alihan Pelajar iaitu 03-22734622 / 016-5580719 atau 05-3134622 / 016-5580619 atau layari laman web kami di www.laman-map.com.

Bagaimana Merangsang Anak Solat?

http://www.tengkuasmadi.com/1/post/2011/08/bagaimana-merangsang-anak-solat.html

Hasil tulisan: Dr. Hj. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad.(Hak Cipta Terpelihara 2011 @ MAP Training & Consultancy Sdn. Bhd.)
Hari ini saya menerima satu soalan dari pengunjung blog yang bertanya bagaimana cara bagi kita mendidik anak supaya solat. Oleh itu saya mengambil kesempatan menjawab soalannya melalui artikel yang ditulis ini bagi memudahkan orang lain memanfaatkannya juga.

1) Ibu bapa mesti menjadi contoh dahulu. Mudah sahaja, ibu bapa yang bersolat pasti mampu merangsang anak-anak rajin bersolat. Sebaliknya ibu bapa yang liat atau tidak solat maka anak-anak berkemungkinan akan mengikuti jejak langkah yang sama. Bagi anak-anak yang kecil, iaitu usianya antara 1 hingga 6 tahun maka cukuplah kalau mereka sekadar memerhatikan kita bersolat atau ikut sama solat tetapi main-main. Kita baru rukuk dia sudah pun sujud. Kita belum habis lagi dia sudah pun beri salam dan bermain. Tidak perlu bertegas atau berkeras. Usah sampai dia rasakan solat itu satu hukuman. Biarkan sahaja dia begitu sebab yang penting dia nampak kita bersolat. Anak-anak lebih percaya apa yang dia lihat daripada apa yang kita cakap. Malah 80% didikan adalah melalui tauladan bukannya melalui perkataan. Tauladan maknanya apa yang anak kita nampak dilakukan oleh kita setiap hari.


2) Ajak anak-anak anak-anak berjemaah. Usah jadikan sibuk sebagai alasan tidak mampu mendirikan solat secara berjemaah di rumah. Kalau tidak sempat berjemaah pada waktu Subuh, boleh berjemaah di waktu Maghrib. Apabila masuk waktu solat, hamparkan sejadah di ruangan yang sesuai, panggil semua anak-anak dan suruh mereka berwuduk. Suruh anak lelaki yang sulong azan dan kemudian iqamat. Lazimkan solat secara berjemaah dan anak-anak akan terbiasa dengannya. Selepas solat, zikir dan doa, ambillah masa lima minit untuk berikan tazkirah pendek pada anak-anak tentang agamanya.

3) Tegas dan berdisiplin. Diriwayatkan daripada Amr bin Syu’aib, daripada ayahnya, daripada datuknya r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda:Perintahlah anak-anak kamu supaya mendirikan sembahyang ketika berusia tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan sembahyang ketika berumur sepuluh tahun dan asingkanlah tempat tidur di antara mereka (lelaki dan perempuan). (Hadis riwayat Abu Daud). Hadis ini menunjukkan betapa tegasnya Nabi SAW apabila berhadapan dengan masalah solat. Sebab solat itu tiang agama. Orang yang tidak menjaga solatnya tidak layak dijadikan imam, pemimpin dan suami. Memukul anak seawal usia 10 tahun bukanlah bermakna menderanya. Cukup sekadar ia tahu bahawa kita serius dalam bab solat ini. Kegagalan ibu bapa dalam bertegas adalah punca anak-anak malas solat terutamanya apabila mereka dewasa. Malah ramai ibu bapa yang rasa kesian nak kejutkan anak mereka yang lena tidur di waktu subuh atas alasan tidak apalah anak belum akil baligh lagi. Kalau waktu rebung tidak dilentur tidak akan mungkin mampu dilentur ketika sudah separa buluh.

4) Nasihatkannya dengan baik. Apabila anak-anak tidak solat cubalah nasihakan mereka dengan cara yang baik. Terutamanya bagi anak-anak yang sudah masuk usia remaja iaitu 15 hingga 21 tahun. Ceritakan hukuman Allah yang menantinya apabila tidak solat. Ceritakan ganjaran syurga dan seksa neraka. Ceritakan kesan dan akibat yang akan menimpa mereka yang tidak solat baik balas dunia atau akhirat. Bawakan kepadanya kisah-kisah Nabi SAW dan para sahabat tentang solat. Sampaikan padanya bagaimana Nabi SAW pernah solat malam hingga bengkak-bengkak kakinya. Usah berputus asa. Nasihatlah anak-anak dengan sabar dan berterusan. Kalau bukan kita, ibu bapanya, menasihatkan maka siapa lagi?

5) Doakan anak. Banyakkanlah berdoa agar anak-anak lembut hati dan mendengar kata. Buatlah solat hajar agar anak lembut hati bagi mendirikan solat. Bacakan ayat 21 dalam surah Al-Hasrh (59) dan sapukan pada ubun-ubun anak.
Picture
Doakan anak setiap kali kita teringat akan dia meski pun ketika itu kita sedang bekerja, memasak, memandu dan sebagainya. Sebab ketika kita teringat akan anak maka ketika itu insya Allah dia juga teringat akan kita. Oleh itu manfaatkan hubungan yang unik ini. Usah merasa putus asa jika doa belum makbul sebab berputus asa dari rahmat Allah itu tanda-tanda kekufuran. Yakinlah Allah pasti makbulkan doa kita cuma masanya sahaja yang belum tiba.

6) Berikan masa bagi anak melakukan perubahan. Ada ketikanya kita tidak sabar. Sesuatu tabiat memakan masa bagi mendarah daging. Sebab itulah mendidik anak solat perlu bermula seawal usia 7 tahun iaitu beberapa tahun sebelum anak-anak akil baligh. Setiap kali menegur anak solat, ucapkanlah begini, "Aiman, sekarang dah pukul 6.30 petang tapi Aiman masih belum solat. Aiman kan anak yang baik kenapa mesti begini. Sekarang tak apalah juga Aiman baru 11 tahun. Tahun depan Aiman dah masuk usia 12 tahun, mak tidak mahu lihat Aiman begini lagi tau. Ok, sekarang pergi tunaikan solat Asar itu." Ada beberapa perkara yang menarik dalam teguran ibu ini. Pertama, dia ingatkan anaknya tentang solat. Kedua, dia wujudkan jambatan emosi dengan mengatakan yang anaknya itu budak baik. Ketiga, dia letakkan jangkaan bahawa anaknya mesti berubah pada usia 12 tahun. Keempat, dia minata anaknya solat sekaran. Ucapan sebegini membuatkan anak lebih senang berubah. Bayangkan pada hari lahirnya 12 tahun nanti apabila kita berikan Aiman hadiah sejadah dan baju sembahyang. Otaknya terus faham bahawa masanya untuk berubah dan menjaga solat sudah pun tiba.

7) Bisikkan di telinganya sewaktu dia tidur. Minda akan memproses maklumat yang disampaikan padanya berulang kali dalam gelombang theta. Oleh itu, hampiri anak yang sedang tidur lalu usap kepalanya, atau tepuk-tepuk badannya sambil berulang kali menyebut, "Aiman, rajin solat yer nak." Terus menyebut kata-kata tersebut sehingga anak memberikan respon seperti mengangguk, mengalih badan atau seumpamanya. Kemudian, sebut beberapa kali lagi lalu tinggalkanlah anak itu. Lakukan perkara ini setiap malam selama 1 hingga 3 minggu dan insya Allah berhasil. Yang penting yakin dan positif.

8) Bawa anak-anak ke surau dan masjid. Biasakan anak-anak ke surau atau masjid bermula dari mereka masih kecil. Anak-anak yang sudah terbiasa dengan suasana beribadah tidak akan kekok melakukannya apabila sudah akil baligh. Tambahan pula, apabila dia ke masjid, potensi bagi dia berkawan dengan mereka yang kaki solat juga tinggi. Kalau dia melepak maka potensi untuk dia jadi kaki rempit pula yang tinggi. Pilihan ditangan kita sebagai ibu bapanya. Usah nanti nasi sudah menjadi bubur barulah mahu disesalkan. Masalahnya, orang tua pun sekarang liat ke masjid.

9) Lakukan Rawatan Islam. Ya betul, saya memang serius. Lakukan rawatan Islam. Mengikut pengalaman saya ramai anak-anak yang mals, degil, tidak solat dan tidak suka membaca al-quran disebabkan adanya gangguan syaitan dan iblis yang berbisik-bisik di kalbunya. Tetapi bukanlah semua kes tidak solat disebabkan oleh gangguan. Ada juga yang memang sudah jenis pemalas. Cuma tidak salah melakukan rawatan jika semua perkara yang disarankan di atas telah pun dilakukan.

10 Peranan Ibu Bapa Menjelang Peperiksaan

http://www.tengkuasmadi.com/1/post/2011/11/10-peranan-ibu-bapa-menjelang-peperiksaan.html

Oleh: Dr. Tengku Asmadi T. Mohamad, Ph.D
Perunding Motivasi MAP Training and Consultancy Sdn. Bhd.

Musim peperiksaan menjelang lagi. Disaat begini ibu bapa biasanya lebih bimbang berbanding anak-anak. Diantara ibu dan bapa pula, ibulah yang lebih gemuruh berbanding bapa. Sebagai seorang bapa, saya memahami perasaan dan tekanan yang dihadapi oleh ibu bapa. Malah saya baru sahaja mampu bernafas lega apabila anak yang sulung kini selesai peperiksaan UPSRnya. Memang pengalaman mendidik anak orang dengan mendidik anak sendiri cukup berbeza.

Jangan pula kerana tekanan yang kita rasakan dan harapan yang kita letakkan terhadap seorang anak, membuatkan kita kelam kabut hingga lupa apa yang patut dilakukan disaat menjelangnya peperiksaan.

Salah pendekatan kita maka anak yang akan menerima akibatnya kelak hingga tanpa disedari menjejaskan prestasi peperiksaannya.

Saya teringat bagaimana tahun lepas seorang pelajar motivasi saya telah menelefon dan menangis sedangkan PMR hanya tinggal 10 hari sahaja lagi. Setelah ditenangkan, maka dia beritahu saya bagaimana tertekannya dia apabila ibu bapa terus mengherdik, menekan dan memarahinya kerana dia hanya memperolehi 3A sahaja dalam peperiksaan percubaannya. Dia rasa dia telah gagal sebagai seorang anak dan tidak yakin untuk berhadapan dengan PMR yang sebenar. Nasib baiklah dia sempat mengadu dan meminta bantuan. Bagaimana pula dengan ratusan ribu pelajar lain yang tidak mempunyai tempat untuk mengadu? Sebab itulah kita sebagai ibu bapa mesti tahu apa persediaan yang perlu dibuat untuk kecemerlangan anak-anak menjelangnya peperiksaan.

1. Fahami Tekanan Yang Dihadapi Oleh Anak
Bukan sahaja ibu bapa yang bimbang, anak-anak juga sebenarnya bimbang. Mungkin ada diantara mereka tidak begitu menunjukkan kebimbangan tetapi ia dapat dilihat dari segi perubahan sikap dan tingkah laku mereka. Ada anak-anak yang rungsing lalu tidak berselera makan tetapi ada pula yang menjadi terlalu kuat makan. Ada yang tidak boleh tidur tetapi ada pula yang semakin kuat tidurnya. Ada yang murung, marah-marah, sensitif dan sebagainya. Sememangnya perasaan bimbang boleh menyebabkan berlakunya perubahan sikap dan tingkah laku ini. Sebagai ibu bapa, kita mesti peka terhadap perubahan ini dan cuba sedaya upaya mengurangkan tekanan tersebut dengan lebih memahami mereka. Katakan kepada mereka dengan jelas bahawa apa yang kita harapkan dari mereka hanyalah melakukan yang terbaik mengikut kemampuan diri mereka. Jelaskan kepada mereka kecemerlangan akademik bukan hanya satu-satunya syarat untuk mereka hidup cemerlang di dunia Allah ini.

Apabila tinggal beberapa hari lagi untuk menghadapi peperiksaan, elakkan dari menyuruh mereka menjawab terlalu banyak soalan-soalan yang mereka tidak ketahui penyelesaiannya kerana ini akan membuatkan mereka rasa tidak bersedia. Keyakinan diri mereka akan tergugat dan ini akan menjejaskan prestasi mereka dalam menjawab soalan-soalan yang mereka sedia ketahui.



Adalah lebih baik ibu bapa diam tanpa memberikan sebarang komen apabila didapati perasaan anak terlalu tertekan hingga ada ketikanya dia memberontak lalu meluahkan perasaan dengan mengatakan yang dia pasti gagal. Perhatikan sahaja gelagat anak sebab biasanya luahan perasaan itu bukanlah luahan yang sebenar. Selepas itu, ajak anak melakukan aktiviti yang menyeronokkan tanpa perlu keluar dari rumah. Misalnya, adakan masa untuk menonton cerita jenaka seketika. Berhibur dan bergelak ketawalah sekeluarga. Ini akan membuatkan perasaan tegang dalam diri anak mengendur dan dia kini bersedia untuk kembali belajar semula. Ketika ini, tanamkan keyakinan dalam diri mereka semula. Rancang bersama jadual ulangkaji mereka dan cuba mudah-mudahkan setiap langkah yang mahu diambil.

2. Tingkatkan Keyakinan Diri Anak
Keyakinan diri yang tidak mantap sering menghantui jiwa anak-anak. Ada diantara mereka yang memang telah membuat ulangkaji sejak awal lagi tetapi tetap rasa tidak yakin pada diri sendiri. Sebagai ibu bapa kita perlu tahu bahawa keyakinan itu datangnya dari persediaan. Semakin bersedia anak kita maka semakin yakinlah mereka. Persediaan ini pula bukan sekadar membaca, menghafal dan menyediakan nota semata-mata. Persediaan ini mestilah merangkumi aspek menerima (input) dan mengeluarkan (output) maklumat.

Proses mendapat maklumat termasuklah membaca, membuat nota ringkas, menghafal, bertanya, dan mengetahui teknik menjawab soalan-soalan. Proses mengeluarkan maklumat pula ialah menjawab soalan-soalan seperti membuat latihan, latih tubi dan simulasi dengan menggunakan segala pengetahuan yang telah diperolehi dalam proses mendapat maklumat itu tadi. Galakkan anak menjawab sebanyak mungkin soalan agar mendapat pengalaman. Lebihkan proses latih tubi untuk mana-mana topik yang agak lemah atau bentuk soalan yang kurang dikuasai. Seterusnya, perhebatkan simulasi iaitu menjawab soalan-soalan tahun lepas serta soalan-soalan ramalan mengikut masa yang telah ditetapkan. Lakukan proses simulasi ini seolah-olah dia benar-benar berada dalam dewan peperiksaan yang sebenar.

3. Dorong Anak Secara Positif
Ibu bapa hendaklah sering memberikan harapan kepada anak dengan melontarkan kata-kata yang positif. Apakah kata-kata positif? Kata-kata positif adalah kata-kata yang apabila diucapkan akan menghasilkan gambaran minda yang juga positif.

Misalnya:

bukan "Jangan buang masa" .... tapi ucapkanlah "Manfaatkan masa",

bukan "Jangan berputus asa"... tapi ucapkanlah "Berusahalah dengan lebih gigih lagi" atau "Mak percaya adik pasti BOLEH!",

bukan "Jangan kelam kabut".. tapi ucapkanlah "Banyakkanlah bertenang",

bukan "Elakkan kecuaian".. tapi ucapkanlah "Tingkatkan ketelitian dan lebih berhati-hati",

Malah banyak lagi contoh-contoh yang boleh diberikan.

4. Kerjasama Sepenuhnya
Apabila seorang anak bakal menduduki peperiksaan penting maka keseluruhan ahli keluarga yang ada dalam rumah hendaklah memberikan kerjasama sepenuhnya. Antaranya, hormati waktu ulangkaji anak itu dengan setiap ahli keluarga menjadikan waktu itu sebagai waktu belajar. Misalnya ibu bapa boleh manfaatkan waktu itu untuk membaca bahan-bahan yang berfaedah. Adik kecil pula diberikan kertas dan pensil untuk menconteng. Datuk dan nenek, kalau tinggal dirumah yang sama, gunakanlah waktu itu untuk membaca al-quran. Begitulah juga dengan yang lain-lain. Pastikan tidak seorang pun daripada ahli keluarga yang menonton TV, mendengar radio, sembang-sembang kosong, bermain-main dan sebagainya sedangkan ada anak yang sedang bertungkus lumus menghadapi pelajarannya. Dengan cara ini anak akan dapat rasakan bahawa perjuangannya dihargai.

5. Kurangkan Aktiviti Luar
Elakkanlah dari terlalu banyak membuang masa dengan aktiviti diluar seperti keluar membeli belah, makan di luar, balik kampung, menziarahi saudara mara dan sebagainya. Ingatlah setiap minit itu amat berharga untuk anak oleh itu pastikanlah setiap aktiviti yang dirancang menyumbang kepada persediaannya untuk menghadapi peperiksaan sama ada persediaan mental, emosi, fizikal atau rohani anak-anak. Tambahan pula, kekerapan berada di luar rumah hanya mendedahkan mereka terhadap perkara yang tidak diingini sama ada dari segi kesihatan atau keselamatan.

6. Elakkan Anak Dari Tidur Lewat
Ada yang suka belajar hingga lewat malam untuk menghabiskan ulangkaji mereka. Jangan biarkan keadaan sebegini berlarutan. Pastikan anak anda masuk tidur awal dan bangun awal. Galakkan mereka membuat sedikit ulangkaji diwaktu awal pagi walaupun hanya untuk dua puluh atau tiga puluh minit. Diwaktu ini fikiran mereka tenang, emosi belum terganggu dan suasana pula nyaman. Banyak maklumat yang dibaca ketika ini akan diingat untuk tempoh masa yang lebih lama.

7. Berikan Anak Pelepasan Tugas Harian
Berikanlah anak anda layanan yang istimewa kerana menjelangnya peperiksaan. Berikan dia bebas dari melakukan tugas harian yang sememangnya menjadi rutin hariannya seperti mengemas bilik, menolong emak di dapur, membersih halaman rumah, mencuci pakaian dan sebagainya. Agihkan sementara tugas-tugas ini kepada orang lain seperti kakak, abang, adik atau ibu bapa sendiri. Dengan cara ini anak yang akan menduduki peperiksaan dapat merasakan bahawa seluruh ahli keluarga memang benar-benar mahu lihat dia cemerlang. Dia akan rasa bersalah kiranya waktu yang diperuntukkan untuk belajar tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya sedangkan semua orang telah memberikan kerjasama. Dia juga akan sentiasa mengharapkan suasana peperiksaan sebegini datang lagi kerana seronok mendapat pelepasan tugas. Anak-anak yang lain tidak ada sebab untuk cemburu sebab apabila tiba masa mereka maka mereka juga akan dilayan dengan cara yang serupa.

8. Nyatakan Ganjaran Dengan Jelas
Jangan biarkan anak anda berteka teki terhadap ganjaran yang bakal dia terima sekiranya dia memperolehi keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Nyatakan dengan jelas bentuk ganjaran yang mahu diberikan kepadanya. Kalau ia berbentuk kebendaan maka nyatakan dengan jelas. Tunjukkan gambar tentang apa yang mahu anda berikan padanya. Kalau ia suatu percutian, beritahu destinasi yang akan dilawati. Dapatkan juga risalah tentang destinasi tersebut dan tunjukkan padanya. Ganjaran yang kabur atau samar-samar tidak akan merangsang jiwa. Misalnya, elakkan dari berkata, "Kalau abang cemerlang dalam SPM maka emak akan bawa abang melancong", sebaliknya hendaklah kita berkata, "Kalau abang cemerlang dalam SPM emak pasti bawa abang ke Langkawi, insyaAllah".

Pastikan apa jua ganjaran yang mahu diberikan anda mampu menunaikannya. Kalau tidak anak akan hilang kepercayaan terhadap kita sebagai ibu bapa dan lain kali janji kita tidak diambil kisah lagi.

Ganjari juga usahanya bukan sekadar hasil atau pencapaiannya. kalau kita tahu anak telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan tetapi keputusan peperiksaan tidak seperti yang dimahukan maka berikanlah dia sesuatu sebagai menghargai penat lelahnya itu.

9. Ambil Cuti
Inilah masanya untuk ibu bapa berikan dorongan yang tidak berbelah bahagi kepada anak yang bakal menduduki peperiksaan. Ambillah cuti beberapa hari dan usahakan untuk hantar sendiri anak ke sekolah pada hari peperiksaan tersebut. Sepanjang perjalanan terus berikan kata-kata perangsang dan nasihat kepadanya. Ingatkan anak sekali lagi bahawa kita tidak pentingkan apa sekalipun hasil yang dia perolehi, yang penting dia telah pun memberikan usaha yang terbaik. Apa sahaja keputusannya kita terima dan bersyukur.


10. Banyakkan Berdoa dan Solat hajat
Tidak ada sesuatu yang lebih bermakna untuk seorang anak ketika menduduki peperiksaan selain daripada doa dan restu dari kedua ibu bapanya. Oleh itu, inilah masanya untuk kita luangkan lebih banyak masa berdoa untuknya agar dipermudahkan urusan anak menjawab setiap soalan, diberikan ketenangan dan diterangkan hati. Berdoalah dengan suara yang jelas agar didengar oleh anak dan biarlah dia aminkan doa kita itu. Biar anak menyedari yang kita sering membuat solat hajat dan berdoa untuknya. Dengan cara ini mereka akan lebih menghargainya.

Semoga petua keibubapaan yang telah diberikan dapat membantu ibu bapa untuk menjadi lebih cemerlang. Ingatlah, anak-anak bukan kita maka terimalah mereka seadanya. Yang penting mereka lakukan yang terbaik mengikut kemampuan diri mereka sendiri.